3 Fungsi dan 3 Keburukan Silikon dalam Syampu Rambut
Fitri Mamadil
August 24th, 2023
No Comments
Hai, Assalamualaikum semua.
Bila sebut tentang penjagaan rambut, pasti ramai yang menitik-beratkan bahan atau kandungan yang terdapat dalam produk syampu tersebut, terutamanya kandungan silikon. Mana tak risaunya kan, rambut tu merupakan salah satu aset luaran yang sangat berharga bagi semua orang tidak kira lelaki mahupun wanita. Risau sangat kalau rambut gugur, rambutkusut, dan sebagainya.
Dalam banyak-banyak bahan kandungan yang terdapat dalam produk penjagaan rambut atau syampu, kandungan silikon antara yang selalu dibincangkan.
Apa itu silikon?
Silikon adalah sebatian polimer yang sering digunakan dalam produk kecantikan dan perawatan rambut, termasuk syampu. Kebiasaannya, ia boleh dikenal pasti dalam bentuk cecair yang jernih dan licin. Antara yang biasa digunakan dalam pembuatan syampu adalah Dimethicone, Dimethiconol dan Amodimethicone.
Dimethicone: Ia merupakan sebatian polimer silikon yang terdiri daripada unit silikon dan juga oksigen. Jenis ini yang paling biasa digunakan dalam produk penjagaan rambut kerana sifatnya yang dapat membantu melembapkan kulit kepala.
Dimethiconol: Bersifat lebih berat daripada Dimethicone. Ia digunakan dalam produk penjagaan rambut untuk memberikan manfaat yang lebih tahan lama kepada rambut.
Amodimethicone: Kandungan yang paling efektif bagi mengatasi masalah rambut kusut.
Okay berbalik semula kepada topik asal yang kita nak bincangkan hari ini. Betul ke silikon ni boleh mendatangkan kebaikan semata-mata, atau juga boleh menyebabkan kerosakan pada rambut?
Sebenarnya, silikon yang digunakan dalam syampu rambut ini mempunyai fungsi kebaikan dan juga kesan keburukan kepada rambut pengguna. Berikut merupakan perbincangan topik kita pada kali ini.
Fungsi / kebaikan silikon dalam syampu rambut
1. Menghasilkan rasa rambut yang licin (smoothness)
Kandungan Dimethicone dan Dimethiconol dapat membantu menghasilkan rasa licin pada rambut. Dimethicone berfungsi membentuk lapisan nipis pada setiap helaian rambut. Lapisan ini pula akan berfungsi mengisi kekosongan pada permukaan rambut. Hasilnya, rambut pengguna akan terasa lebih rata, halus dan licin bila disentuh.
2. Memberikan kesan kilauan (shining effect)
Terkenal dengan fungsinya untuk memberikan “shining effect” pada rambut pengguna. Struktur molekul Dimethicone mempunyai kemampuan untuk menyebarkan cahaya secara merata di permukaan rambut. Jadi, cahaya yang dipantulkan pada rambut dapat membuatkan rambut kelihatan lebih bersinar.
3. Mengurangkan kekusutan rambut
Amodimethicone digunakan untuk mengurangkan masalahrambut kusut. Ia dapat membantu mencegah kekusutan semulajadi yang berlaku akibat aktiviti seharian. Contohnya seperti ketika tidur, menyikat rambut dan sebagainya. Hasilnya, rambut akan terus kelihatan teratur dan lurus.
Boleh nampak kan fungsi kebaikan silikon yang digunakan dalam syampu rambut. Jelas, ianya memainkan peranan penting dalam memberikan kesan yang baik kepada rambut pengguna.
TETAPI, kajian juga mendapati penggunaan silikon dalam syampu rambut ini juga mendatangkan keburukan kepada rambut pengguna.
Keburukan silikon dalam syampu rambut
1. Kesan licin atau halus yang bersifat sementara
Pada asalnya, Dimethicone membentuk lapisan pelindung pada rambut pengguna. Ini akan membantu rambut untuk rasa lebih halus dan licin. Namun, kesan ini hanyalah bersifat sementara. Rambut hanya akan terasa licin dan halus apabila lapisan silikon tersebut masih berada pada rambut.
2. Rambut kehilangan nutrien dan kelembapan
Dimethicone bertindak dalam membentuk lapisan pada rambut tetapi dalam masa yang sama lapisan tersebut juga menjadi penghalang nutrien. Kesannya, rambut tidak dapat meresap nutrien dan kelembapan secara efektif. Hal ni boleh menyebabkan rambut pengguna tidak sihat.
3. Rambut mudah gugur
Kandungan Amodimethicone yang digunakan untuk mengendalikan masalah rambut kusut boleh menyerap pada setiap helaian rambut. Proses ini membuatkan rambut menjadi lebih berat dan memberi tekanan pada akar rambut. Jadi, rambut akan lebih cenderung untuk gugur. Terutamanya jika pengguna menggunakan syampu yang mengandungi silikon berlebihan.
Bagaimana pula dengan kesan terhadap rambut selepas pemakaian syampu yang mengandungi silikon ini? Rujuk gambar di bawah.
Haa, jelas kan tentang kebaikan dan keburukan kandungan silikon yang terdapat dalam syampu rambut?
Itu sahaja untuk hari ini. Jangan lupa untuk komen pendapat korang dekat bawah okay.