Penyusuan susu ibu adalah anugerah terindah yang Allah kurniakan bukan sahaja dapat memberikan khasiat terbaik untuk si kecil, malah mempereratkan lagi ikatan kasih sayang antara ibu dan anak. Namun, ada kalanya ibu rasa risau, “Cukupkah susu aku untuk si manja?” Jangan bimbang! Selain kerap menyusukan bayi dan memastikan teknik penyusuan yang betul, pemilihan makanan harian juga memainkan peranan penting dalam memperbanyakkan susu badan.
Jom kita tengok makanan-makanan ‘ajaib’ yang boleh membantu meningkatkan pengeluaran susu ibu secara semula jadi:
1. Oatmeal
Oatmeal adalah makanan serba boleh yang mudah disediakan – boleh dinikmati sebagai sarapan atau snek. Ia kaya dengan zat besi yang penting untuk mencegah anemia selepas bersalin, serta serat larut yang membantu dalam penghadaman. Oatmeal juga diketahui merangsang hormon prolaktin, iaitu hormon utama dalam penghasilan susu ibu. Mengambil oatmeal setiap hari dapat membantu meningkatkan bekalan susu secara semula jadi sambil memberi rasa kenyang yang lama.
2. Sayur-sayuran Hijau
Sayuran hijau seperti bayam, brokoli, dan sawi mengandungi pelbagai vitamin (A, C, K) dan mineral penting seperti zat besi dan kalsium. Vitamin A membantu perkembangan sistem imun bayi melalui susu, manakala kalsium penting untuk tulang dan gigi yang kuat. Sayuran hijau juga mengandungi antioksidan yang melindungi tubuh ibu dari stres oksidatif selepas bersalin, sekaligus meningkatkan kualiti susu ibu.
3. Kacang dan Biji-bijian
Kacang seperti badam dan walnut, serta biji seperti chia dan bunga matahari, kaya dengan lemak sihat (omega-3) dan protein. Lemak sihat ini penting untuk menghasilkan susu yang lebih kaya dengan nutrien, terutamanya dalam menyokong perkembangan otak dan sistem saraf bayi. Selain itu, kacang dan biji juga membantu mengekalkan tenaga ibu menyusu yang sering cepat letih.
4. Buah-buahan
Buah-buahan seperti betik muda, kurma, mangga, dan oren bukan sahaja membekalkan tenaga segera tetapi juga memperkaya susu ibu dengan vitamin dan antioksidan. Betik muda khususnya bertindak sebagai galactagogue semula jadi – iaitu bahan semulajadi yang membantu merangsang pengeluaran susu. Kurma pula membekalkan zat besi dan serat, sesuai untuk pemulihan badan selepas bersalin.
5. Halba (Fenugreek)
Halba adalah herba tradisional yang digunakan berkurun lamanya untuk meningkatkan penghasilan susu. Ia mengandungi phytoestrogen yang meniru tindakan hormon estrogen dalam tubuh, seterusnya merangsang kelenjar susu. Halba boleh diambil sebagai teh herba, dalam bentuk kapsul, atau digunakan sebagai rempah dalam makanan harian untuk hasil terbaik.
6. Ikan Berlemak
Ikan seperti salmon, sardin, dan tuna mengandungi DHA dan omega-3 yang tinggi. Nutrien ini bukan sahaja penting untuk perkembangan otak, mata, dan sistem saraf bayi, tetapi juga memperkayakan kandungan nutrisi dalam susu ibu. Selain itu, omega-3 membantu ibu mengurangkan risiko kemurungan selepas bersalin (postpartum depression).
7. Produk Tenusu
Produk tenusu seperti susu, yogurt, dan keju membekalkan kalsium, protein, dan vitamin D. Kalsium amat penting kerana semasa menyusu, tubuh ibu akan menggunakan simpanan kalsium untuk menghasilkan susu, yang jika tidak ditampung boleh melemahkan tulang ibu. Mengambil produk tenusu secara konsisten membantu mengekalkan kekuatan tulang dan kesihatan keseluruhan.
8. Air dan Minuman Sihat
Penghidratan sangat penting untuk penghasilan susu. Tubuh ibu menyusu memerlukan lebih banyak air untuk menghasilkan cecair tambahan (susu). Air kosong, air barli, air kelapa, dan susu kurma membantu mengekalkan tahap hidrasi yang baik, membekalkan elektrolit, dan meningkatkan tenaga semula jadi ibu. Dehidrasi boleh menyebabkan pengurangan dalam jumlah susu, jadi penting untuk minum air secukupnya sepanjang hari.
Kesimpulannyan penghasilan susu ibu adalah hasil gabungan usaha fizikal, emosi yang stabil, kesihatan tubuh yang baik, dan pemakanan seimbang. Dengan mengamalkan makanan-makanan di atas secara konsisten, insyaAllah pengeluaran susu akan meningkat secara semula jadi.
Sebagai ikhtiar tambahan, Susu Rizqi keluaran Mamadil juga boleh menjadi pilihan. Dengan kandungan bahan semulajadi seperti ekstrak habatus sauda dan kurma, Susu Rizqi membantu menyokong usaha memperbanyakkan susu badan sambil memberikan tenaga kepada ibu.
Ingatlah, ibu – tubuh anda tahu apa yang perlu dilakukan. Teruskan percaya, teruskan berusaha, dan teruskan mencintai setiap detik perjalanan indah ini bersama si kecil.