Siapa dekat sini ada masalah penyakit ekzema? Ekzema atau nama lainnya, dermatitis atopik, merupakan sejenis penyakit kulit.
Kebiasaannya ekzema akan mempengaruhi lapisan luar kulit. Kulit akan menjadi radang gatal, bengkak kemerah-merahan dan ada yang lebih teruk, kulit kelihatan seperti kulit melecur yang berair di kawasan ekzema.
Ekzema biasanya terjadi pada kanak-kanak sebelum berumur 5 tahun. Antara anggota badan yang biasanya mempunyai masaalah ekzema adalah pergelangan tangan, siku, lulut dan juga kaki.
Persoalannya, bagaimana ekzema boleh terjadi? Teruskan membaca.
Punca Ekzema
Ekzema adalah penyakit kulit yang sering kali dipengaruhi oleh faktor-faktor tertentu. Berikut adalah penjelasan untuk setiap faktor.
- Keturunan: Faktor genetik merupakan salah satu faktor terjadinya penyakit ekzema. Jika seseorang mempunyai sejarah keluarga dengan sejarah ekzema, risiko mereka untuk mengalami ekzema juga lebih tinggi.
- Alergen seperti Serbuk, Bulu Haiwan, Debu, dan Makanan Tertentu: Alergen merupakan zarah-zarah asing yang dapat menyebabkan reaksi alergi pada kulit. Kebiasaanya alergen ini ada pada serbuk-serbuk, bulu haiwan dan juga debu persekitaran. Bukan itu sahaja, makanan seperti telur, susu, kacang, dan makanan laut juga boleh menyebabkan reaksi alergi pada seseorang yang boleh memburukkan lagi ekzema.
- Stres dan Tekanan Emosi: Stres dan tekanan emosi yang tinggi boleh menyebabkan flare-up ekzema mungkin menjadi lebih teruk. Hal ini kerana, stres dapat merangsang pelepasan hormon yang mempengaruhi sistem pertahanan tubuh badan dan merangsang radang pada kulit.
- Suhu Dan Cuaca yang Extreme: Suhu yang sentiasa berubah-ubah, seperti cuaca panas atau lembap, boleh mengganggu keadaan kulit yang terkena ekzema. Panas dan lembap juga boleh menyebabkan peluh dan iritasi pada kulit yang dapat memburukkan lagi gejala ekzema.
- Penggunaan Produk yang Mengandungi Kimia: Ada kandungan bahan kimia dalam sabun, detergen, pembersih, atau kosmetik yang dapat menyebabkan iritasi pada kulit. Penggunaan produk ini boleh menyebabkan reaksi alergi yang lebih teruk dan boleh memburukkan lagi ekzema.
Simptom Ekzema
- Ruam Merah dan Gatal pada Kulit: Pesakit ekzema akan mengalami ruam merah gatal pada kulit mereka. Ruam ini boleh muncul di mana-mana bahagian tubuh, tetapi biasanya berlaku di leher, muka, siku, lutut, dan kaki.
- Kulit yang Kering dan Mengelupas: Kebiasaanya kulit juga akan menjadi sangat kering dan kelihatan bersisik. Kulit juga akan terasa kasar dan pedih.
- Lepuhan Berair dan Nanah: Ekzema kadang-kadang menyebabkan lepuhan kecil yang berisi cairan nanah. Lepuhan ini boleh menyebabkan rasa gatal dan tidak selesa.
- Kulit Tebal atau Terkoyak Bahagian Tertentu: Pada tahap yang lebih teruk, kulit yang terkena ekzema boleh menjadi lebih tebal dan terkoyak. Ini mungkin disebabkan oleh kesan iritasi berpanjangan.
- Kulit yang Terbakar atau Terasa Pedih: Beberapa individu yang mengalami ekzema mengalami rasa pedih atau terbakar pada kulit mereka.
Cara Merawat Ekzema
- Jaga Kebersihan Kulit: Mandi dengan air suam adalah penting untuk individu yang mengalami ekzema. Gunakan sabun atau pembersih khusus untuk kulit sensitif. Hindari penggunaan sabun yang mengandungi bahan kimia yang boleh mengeringkan kulit. Selepas mandi, keringkan kulit dengan lembut menggunakan tuala asing. Kurangkan menggosok dengan terlalu kuat.
- Guna Pelembap: Penggunaan pelembap adalah sangat penting dalam merawat ekzema. Pilih pelembap yang sesuai untuk kulit sensitif dan yang tidak mengandungi wangian atau bahan kimia yang boleh menyebabkan ekzema menjadi lebih teruk. Pelembap dapat membantu menghalang kulit daripada kering, mengelupas, dan dapat mengurangkan kegatalan.
- Kenalpasti Faktor Alergi: Kenalpasti faktor-faktor ekzema yang boleh terjadi pada diri masing-masing. Ini boleh termasuk alergen seperti serbuk, bulu haiwan, atau makanan tertentu. Selain itu, lihat juga dari segi pemakanan yang mungkin boleh menyebabkan anda mengalami alergi dan ekzema. Usahakan untuk menjauhkan diri dari faktor-faktor ini.
- Konsultasi dengan Pakar Kesihatan: Jika gejala ekzema anda tidak dapat dikawal dengan baik, penting untuk berunding dengan pakar kesihatan tentang keadaan ekzema. Pakar kesihatan boleh memberikan nasihat dan rawatan yang lebih spesifik untuk keadaan kulit anda.
Seperti yang ramai tahu, ekzema adalah penyakit kulit kronik yang memerlukan penjagaan dalam jangka masa panjang. Pengurusan yang efektif melibatkan amalan penjagaan kulit yang tepat, penggunaan ubat-ubatan yang disyorkan, dan meminimumkan pendedahan kepada faktor berlakunya ekzema sangat penting.
Penting untuk mendapatkan nasihat daripada pakar kesihatan tentang penjagaan yang tepat untuk merawat ekzema. Dengan pemahaman yang baik mengenai punca, gejala, dan pengurusan yang efektif, individu yang menghidap ekzema dapat menjaga kesihatan kulit mereka dengan lebih baik.